Trak Sel Bahan Api Hidrogen Toyota Kini Dalam Ujian Di AS Atas Usaha Mengurangkan Pelepasan Gas Berbahaya

Sejenis trak konsep Toyota yang menggunakan sel bahan api hidrogen sedang menjalani ujian jarak perjalanan pendek di Pelabuhan Los Angeles sebagai salah satu kajian feasibility di atas usaha pelabuhan tersebut untuk mengurangkan pelepasan gas berbahaya.

Trak tersebut menggerakkan barang dari Pelabuhan Los Angeles dan terminal Long Beach ke kawasan berdekatan seperti halaman keretapi dan gudang. Toyota menganggarkan jarak perjalanan lebih kurang 320km – pergerakan pendek dan corak perjalanan direka khas untuk menguji kebolehan sistem bahan api hidrogen.

Toyota mendedahkan bahawa syarikat tersebut akan membangunkan satu armada trak bersaiz besar, emisi kosong, trak sel bahan api hidrogen pada bulan April yang lalu. Trak konsep ini menghasilkan lebih daripada 670HP dan 1,796 Nm tork menggunakan dua sel bahan api daripada model Toyota Mirai dan bateri berkuasa 12kWh. Ianya mampu menjana kuasa untuk menggerakkan berat sebanyak 36,287 kg.

Sel bahan api hidrogen menggunakan gas hidrogen termampat sebagai bahan api dan hanya mengeluarkan wap air sebagai emisinya. Ianya sudah dibangunkan selama berpuluh-puluh tahun, cuma kini ianya boleh dikatakan cukup berkuasa dan boleh menggantikan kenderaan yang dikuasakan oleh petrol/diesel.

Hidrogen tidak dilihat sebagai satu lonjakan teknologi kerana masalah untuk membangunkan stesyen yang membekalkan gas hidrogen. Namun begitu, penggunaannya untuk kenderaan komersil seperti trak, lori dan kenderaan bersaiz besar yang lain dilihat lebih mendapat kebaikan daripada teknologi ini memandangkan stesyen tahap industri adalah lebih mudah dibangunkan di kawasan pelabuhan dan gudang.

Toyota mempunyai pengalaman yang jauh lebih banyak dalam teknologi sel bahan api hidrogen berbanding pengeluar lain. Pada 2015 yang lalu, Toyota telah mengeluarkan model Mirai yang kurang mendapat sambutan.

Toyota turut menyatakan hasratnya untuk menjual bas yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen di Tokyo menjelang hujung tahun ini, sebelum kedatangan 2020 Olimpik nanti.

Harap-harap teknologi seperti ini akan dibawa ke Malaysia suatu hari nanti untuk mengatasi masalah pencemaran udara dan pemanasan global. Sekarang juga kita dapat lihat kerajaan menerapkan konsep penggunaan kereta hybrid dan juga pengangkutan awam di Malaysia sudah mula menggunakan bas dan gerabak keretapi elektrik.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *