7 kes kebaikan manusia yang dibalas dengan keburukan

Buat baik, dibalas jahat. Begitulah sesetengah niat baik yang disalahertikan sehingga menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini.

Sebenarnya, masih ramai lagi manusia berhati mula di atas muka bumi ini yang sanggup mengambil risiko dan melakukan pengorbanan untuk menyelamatkan orang lain. Namun, perbuatan murni mereka akhirnya tidak dihargai. Malah, lebih teruk lagi apabila kerenah birokrasi, peraturan ataupun sifat mementingkan diri segelintir orang membuatkan sesetengah manusia mulia ini terpaksa melalui pengalaman yang dahsyat.

Kami kongsikan kisah 7 orang yang baik hati tetapi mendapat balasan buruk:

7. Dipecat kerana menyelamatkan orang yang lemas

Tomas Lopez sedang bertugas di Pantai Hallandale, Florida ketika seseorang berlari ke arahnya untuk membuat aduan. Menurut pengadu tersebut, seorang lelaki telah berenang terlalu jauh dan sedang lemas. Sebagai seorang penyelamat, Lopez bergegas ke lokasi kecemasan dan telah berjaya menarik mangsa ke pantai dengan bantuan beberapa pengunjung pantai yang lain.

buat balik dibalas tuba tak kenang budi tak berterima kasih 1

Kemudian, mereka memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa, menghubungi paramedik dan akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa lelaki tersebut.

Apabila Lopez menghantar laporan insiden kepada pihak pengurusan, dia tidak diangkat sebagai seorang hero, malah dia telah dipecat. Menurut syarikat Lopez, lokasi lelaki itu berenang adalah di luar kawasan perlindungan dan satu papan tanda jelas menyatakan sesiapa sahaja yang berenang di situ mestilah menanggung sendiri risiko sekiranya berlaku apa-apa kejadian tidak diingini.

Jika polisi syarikat itu dipatuhi, sesiapa sahaja yang berenang di luar kawasan perlindungan perlu dibiarkan mati. Rakan-rakan sekerja Lopez amat berang dengan keputusan syarikat. 6 orang anggota penyelamat yang lain telah menyokong Lopez. Mereka memberitahu syarikat serta pihak media bahawa mereka juga akan mengambil tindakan yang sama seperti Lopez jika berada di tempatnya dan Lopez berhak mendapat permohonan maaf daripada pihak syarikat. Pihak syarikat telah memecat keenam-enam penyelamat itu juga. (Sumber)

6. Ditangkap kerana menyelamatkan rakan yang ketagihan

Veronica Cherwinski pernah kehilangan seorang rakan akibat ketagihan heroin dan dia tidak ingin kejadian yang sama berulang lagi. Jiran, merangkap teman baiknya, terlantar di sofa akibat tidak sedarkan diri kerana terlebih dos dadah dan sedang mengalami simptom-simptom yang sama seperti pernah dilihat Cherwinski. Dia takut akan kehilangan seorang lagi rakan, lalu terus mendail 911 dan menunggu bantuan sampai.

buat balik dibalas tuba tak kenang budi tak berterima kasih 2

Panggilan yang dibuat Cherwinski ternyata telah menyelamatkan nyawa jirannya itu. Namun, pegawai polis yang mengendalikan kes mereka bertindak menangkap Cherwinski atas kesalahan penyalahgunaan dadah. Pegawai itu menyerbu masuk ke rumah Cherwinski untuk mencari heroin, menangkapnya atas pemilikan dadah tersebut dan menyumbatnya masuk ke dalam penjara.

Penangkapan Cherwinski sebenarnya menyalahi undang-undang. Kerajaan negeri telah memberikan kuasa imuniti kepada sesiapa sahaja yang cuba menyelamatkan nyawa seseorang daripada mati akibat pengambilan dadah secara berlebihan. Walau bagaimanapun, pihak polis menyebelahi pegawai mereka dengan menyatakan bahawa mereka mempunyai hak untuk melakukan penangkapan sekiranya berasa syak wasangka.

Hakim dan peguambela juga seakan-akan tidak peduli sama ada Cherwinski dilindungi undang-undang atau tidak. Para wartawan daripada The Providence Journal telah memutuskan untuk mengambil kes Cherwinski atas dasar kemanusiaan. Mereka akhirnya berjaya membuktikan yang Cherwinski tidak sepatutnya didakwa dan membebaskan dia dari pusat tahanan.

Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Pembebasan Cherwinski mengambil masa terlalu lama. Daya ketahanan Cherwinski terhadap heroin telah beransur hilang di penjara dan tiada sesiapa yang membantunya mengharungi masa perit itu. Sejurus dibebaskan, dia menyuntik lagi diri sendiri tanpa mengetahui yang tubuhnya tidak mampu untuk menerima dos dadah yang sama. Akhirnya, Cherwinski juga mati akibat pengambilan dos dadah yang berlebihan. (Sumber)

5. Warga emas dipenjarakan kerana memberi makan kepada gelandangan

Arnold Abbott sedang bertugas bersama dua orang paderi Kristian untuk memberi makan kepada gelandangan di taman Fort Lauderdale apabila sepasukan polis muncul. Atas kesalahan memberi makan kepada orang susah, warga emas berusia 90 tahun itu digari kedua-dua tangan, didenda sebanyak $500 dan 60 hari penjara.

buat balik dibalas tuba tak kenang budi tak berterima kasih 3

Semuanya gara-gara pengenalan undang-undang baru Fort Lauderdale yang melarang sesiapa berkongsi makanan dengan gelandangan dalam jarak 152 meter dari kawasan perumahan. Seorang penduduk yang menyokong undang-undang itu telah membuat laporan mengenai kios Abbott yang mengundang ramai gelandangan dan mengakibatkan bau yang kurang menyenangkan. (Sumber)

4. Disaman kerana menyelamatkan mangsa tikam

Seorang lelaki gelandangan bernama Leon Wall yang hilang akal tiba-tiba mengamuk dan menuju ke arah sekumpulan tiga orang lelaki sebelum menikam salah seorang daripada mereka. Kemudian Walls dengan cepat melarikan diri masuk ke gedung beli-belah Target berhampiran.

buat balik dibalas tuba tak kenang budi tak berterima kasih 4

Ketiga-tiga lelaki tadi mengejar Walls untuk mengelakkannya mencederakan lebih ramai orang. Tetapi, apabila dijumpai, Walls sudahpun memegang seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan mengacukan pisau kepadanya. Ketiga-tiga lelaki tadi cuba memujuk Walls namun dia menikam pula gadis tersebut. Ketika itulah kumpulan lelaki itu mengambil tindakan untuk menumpaskan Walls.

Remaja perempuan itu berjaya diselamatkan dengan kecederaan ringan. Jika tiada ketiga-tiga lelaki itu di tempat kejadian, mungkin keadaan yang lebib buruk boleh menimpanya. Akan tetapi, pihak pengurusan gedung beli-belah tersebut bertindak menyaman ketiga-tiga lelaki yang menyelamatkan gadis itu. Menurut Target, kesemua lelaki yang menghentikan Walls adalah bertanggungjawab atas perbuatan mereka kerana mengejar Walls masuk ke dalam Target. (Sumber)

3. Tuan rumah ditangkap kerana menyerahkan bahan bukti

Pasangan Michael dan Channel Keeley mendapat tahu penyewa rumah mereka telah ditangkap kerana memiliki dadah jenis meth. Jadi, mereka ke rumah tersebut untuk membersihkan kawasan sebelum mengiklankan semula mencari penyewa baru.

buat balik dibalas tuba tak kenang budi tak berterima kasih 5

Semasa di situ, mereka telah menjumpai 8 beg kecil berisi dadah meth yang tersembunyi di sebalik dinding. Pasangan itu cepat-cepat membuat laporan polis. Namun, tanpa disangka-sangka, pihak polis tiba-tiba mengesyaki pasangan itu dengan tuduhan mengganggu bukti siasatan. Michael dan Channel diberkas dan menerima ugutan supaya anak mereka yang berusia 9 tahun dihantar ke pusat kebajikan.

Selepas kisah ini menerima liputan luas pihak media, pihak polis menggugurkan tuduhan. Namun, tidak semena-mena pasangan itu menjalani hukuman penjara selama dua hari, perlu membayar ikat jamin sebanyak $5,000 setiap seorang dan menyaksikan anak mereka menjadi trauma akibat kehilangan ibu bapa selain diugut oleh pegawai polis. (Sumber)

2. Doktor disaman kerana mendiagnos pesakit dengan HIV positif

Dr. Pavel Yutsis menjalankan beberapa ujian ke atas seorang pesakit di New York kerana disyaki mengalami kekurangan vitamin B12. Namun, Dr. Pavel dapat melihat beberapa masalah lain kerana pesakit tersebut mempunyai tanda-tanda terkena AIDS. Apabila disarankan supaya menjalani ujian HIV, pesakit itu enggan berbuat demikian. Dia mengatakan yang dia sihat walaupun mengalami penurunan berat badan yang drastik.

buat balik dibalas tuba tak kenang budi tak berterima kasih 6

Dr. Pavel amat risaukan pesakit itu dan memilih untuk menjalankan ujian tanpa pengetahuannya. Apabila pesakit itu datang untuk janji temu pemeriksaan berikutnya, Dr. Pavel memberitahu yang dia sebenarnya positif HIV. Diagnosis itu sebenarnya memberikan masa kepadanya untuk mendapatkan bantuan. Pesakit tidak berterima kasih kepada Dr. Pavel, sebaliknya dia menyaman doktor terbabit kerana menjalankan ujian tanpa kebenaran. Menurut peguam pesakit itu, menjalani ujian HIV itu adalah lebih menyebabkan stres daripada tidak mengetahui apa-apa. (Sumber)

1. Disaman kerana membantu warga emas yang tercedera

Di China, seorang lelaki bernama Peng Yu disaman kerana membantu seorang wanita warga emas yang terjatuh. Ketika itu, Xu Shoulan sedang menuruni sebuah bas apabila terjatuh. Peng Yu ternampak dan bergegas membantu wanita tersebut dengan membawanya ke hospital selain menggunakan wang sendiri untuk menjelaskan bil rawatan.

buat balik dibalas tuba tak kenang budi tak berterima kasih 8

Apa yang memeranjatkan, Xu Shoulan tidak berterima kasih kepada Peng Yu, sebaliknya menyamannya. Peng Yu dituduh menolah Xu Shoulan sehingga terjatuh. Tiada bukti yang menyokong tuduhan tersebut, malah terdapat saksi yang menyatakan bahawa Peng Yu tidak berada berhampiran semasa Xu Shoulan terjatuh.

Walau bagaimanapun, hakim mengatakan “tidak ada orang dalam hati nurani yang baik ingin membantu sesiapapun melainkan timbul rasa bersalah” dan menyuruh Peng Yu membayar tuntutan Xu Shoulan sebanyak $6,076.

Disebabkan kes Peng Yu, masyarakat di China semakin takut untuk membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan atau tercedera. Kes paling teruk terjadi pada tahun 2011 di mana seorang kanak-kanak berusia 2 tahun dilanggar sebuah kereta namun hanya diperhatikan begitu sahaja oleh 18 orang yang berada di sekeliling tempat kejadian. Tidak ada seorang pun yang berani membantu kerana kisah Peng Yu terlalu menghantui diri mereka. Jadi, kesemua 18 orang hanya berlalu pergi dan membiarkan kanak-kanak itu mati begitu sahaja. (Sumber)

buat balik dibalas tuba tak kenang budi tak berterima kasih 7

Janganlah kita berasa takut dengan hukuman manusia seperti warga China sehingga sanggup melihat orang lain cedera dan mati dalam kesakitan. Bagi mereka yang beragama Islam, ganjaran di sisi Allah itu sudah dijanjikan berlipat kali ganda. Sentiasalah berpegang kepada prinsip berani kerana benar dan jangan pernah berhenti tolong orang yang memerlukan.

Tak boleh tolong banyak, tolong sikit pun jadilah.

 

Sumber : https://iluminasi.com/

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *